Liga M3 Berita

Liga M3 musim 2021 dibatalkan

Amateur Football League (AFL) membuat keputusan untuk membatalkan pertandingan anjurannya iaitu Liga M3 bagi musim 2021.

Ini kali kedua saingan Liga M3 dibatalkan selepas musim 2020 dibatalkan kerana pandemik Covid-19.

Pengerusi AFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira segala faktor.

“AFL pada dasarnya ingin meneruskan pertandingan dengan pilihan untuk menganjurkannya secara gelembung sukan bermula November 2021 dan telah membentangkan kertas kerja kepada semua pasukan.

“Namun begitu, pembatalan diputuskan setelah mengambil kira segala faktor termasuk hal-hal pengoperasian, aspek keselamatan serta kekangan yang dihadapi oleh AFL dan pasukan.

“Majoriti pasukan turut bersetuju agar Liga M3 2021 ini dibatalkan dan mengalihkan fokus sepenuhnya kepada Liga M3 2022.”

Justeru, Liga M3 2022 dirancang untuk membuka tirainya seawal Februari tahun hadapan dan AFL akan mengekalkan penyertaan kesemua pasukan yang telah disahkan penyertaannya bagi Liga M3 2021.