Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa aspek disiplin amat diutamakan di pasukannya, yang menjadi antara faktor JDT meraih pelbagai kejayaan dan pencapaian.
Katanya, JDT mempunyai undang-undang dan polisi tersendiri bagi memastikan tahap disiplin dan etika pemain mereka sentiasa berada pada tahap tinggi.
Antaranya, pemain dan jurulatih akan didenda jika melanggar polisi kelab seperti lambat tiba sesi latihan ataupun menyalahgunakan media sosial.
“Kalau pemain salah guna media sosial, denda RM40,000 dan itu ada dalam kontrak pemain,” kata TMJ dalam rancangan siaran langsung Bola@Mamak di Astro Arena semalam.
“Sebab kita ada etika kerja. Kalau lewat ke sesi latihan, denda RM15,000, tiada main-main dalam JDT. Akhyar Rashid pernah lewat sekali pun kena denda juga.
“Isteri salahguna dan tidak kawal media sosial yang boleh mencemarkan nama kelab, pemain akan kena denda. Kalau jurulatih lewat pun, pengurus akan denda kerana jurulatih kena ada dua jam sebelum latihan.
“Kalau gaji tak cukup, berhutang.”
Tanpa peraturan yang ditetapkan JDT, pemain tidak akan berdisiplin dan tanpa disiplin, mustahil untuk JDT mengecapi kemenangan yang digapai mereka hari ini.