Liga Super Malaysia Berita

MFL batalkan Challenge Cup bagi musim 2021

Malaysian Football League (MFL) membuat keputusan untuk membatalkan kejohanan Challenge Cup bagi musim 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, keputusan itu dibuat atas dasar beberapa faktor disebabkan impak pandemik COVID-19 sepanjang musim ini yang menyukarkan pasukan-pasukan untuk bertanding.

Faktornya adalah berdasarkan penilaian rapi melibatkan tiga elemen iaitu maklum balas penaja, masalah kewangan kelab yang begitu terkesan akibat kos-kos di luar jangkaan sepanjang Liga Premier dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang masih tiada kelonggaran sepanjang pandemik COVID-19 diambil kira di mana ia banyak memberikan kesan kepada pasukan-pasukan sekiranya kejohanan Challenge Cup diteruskan.

“Challenge Cup 2021 terpaksa dibatalkan selepas MFL bersama pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam Challenge Cup telah mencapai kata sepakat untuk membatalkan kejohanan ini,” kata Stuart dalam kenyataan hari ini.

“Sebenarnya ia bukan satu keputusan mudah sama ada membatalkan atau meneruskan tetapi atas beberapa faktor, pasukan-pasukan bersama MFL secara kolektif telah bersetuju agar kejohanan ini tidak diteruskan.

“Pertama, kejohanan Challenge Cup 2021 daripada sudut penajaan tidak memberikan nilai tambahan bagi aspek komersial dalam pandemik COVID-19. Umum mengetahui bahawa kejohanan ini tiada siaran langsung tambahan pula penonton masih tidak dibenarkan hadir ke stadium atas larangan pihak kerajaan.

“Justeru, ia melibatkan faktor kedua di mana pasukan-pasukan yang kini sedang berdepan masalah kewangan bukan sahaja daripada kos penganjuran perlawanan, sebaliknya kos penginapan, pengangkutan dan kos tambahan SOP dalam latihan terpaksa ditanggung tanpa sebarang pulangan yang mana sebelum ini mungkin kemasukan penonton dan hasil penajaan dapat membantu mereka dalam kewangan masing-masing.

“Faktor ketiga adalah polisi semasa kes-kes positif yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan kekangan kepada pasukan bertanding.

“Jadi, pasukan-pasukan yang bertanding telah mengadakan mesyuarat dalam talian bersama MFL hari ini dan selepas mengambil kira setiap aspek itu akhirnya secara kolektif bersetuju untuk kejohanan Challenge Cup 2021 dibatalkan atas kebaikan bersama.”

Tambah Stuart, meskipun Challenge Cup 2021 terpaksa dibatalkan, kesemua 11 pasukan Liga Premier dapat beraksi dalam saingan liga apabila dapat mengharungi 20 perlawanan musim ini.

Namun, berdasarkan perbincangan bersama pasukan-pasukan dalam mesyuarat itu juga, mereka menyatakan persetujuan untuk menghormati kontrak pemain dan pegawai sehingga hujung kontrak musim 2021 biarpun Challenge Cup 2021 dibatalkan.