Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora mengumumkan senarai 30 pemain yang telah didaftarkan untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara AFC bagi musim 2021.
Bagaimanapun, beliau membuat keputusan mengejutkan apabila salah seorang pemain berbisanya, Gonzalo Cabrera tidak disenaraikan dalam skuad tersebut.
Tempatnya diisi oleh pertahanan baharu JDT, Shane Lowry.
“Kami telah mendaftar Shane Lowry untuk memantapkan lagi bahagian pertahanan,” kata Mora.
“Shahrul Saad masih cedera dan sedang dalam proses pemulihan.
“Gonzalo Cabrera terpaksa diketepikan kerana hanya empat pemain luar negara dibenarkan dan kami ingin memantapkan bahagian pertahanan.
“Kami telah memilih Lowry dan bukannya Cabrera sebagai pemain import Asia kerana beliau dapat membantu Mauricio dos Santos di bahagian belakang.”
Meskipun akan beraksi tanpa kehadiran Cabrera, Mora menegaskan pasukannya masih memiliki barisan pemain yang berkualiti.
“Kami juga mempunyai banyak pilihan yang baik di bahagian sayap seperti Safawi Rasid, Arif Aiman Hanapi, Mohamadou Sumareh, Akhyar Rashid dan Ramadhan Saifullah.
“Leandro Velazquez telah dipilih untuk bahagian tengah kerana kami juga perlukan barisan tengah yang mantap.”
Mora juga membuat keputusan untuk menguatkan pasukannya dengan empat penyerang iaitu Syafiq Ahmad, Ahmad Hazwan Bakri, Guilherme De Paula dan Bergson Da Silva.
“Persembahan Syafiq dalam skuad kebangsaan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Hazwan ketika latihan amat menggalakkan ditambah pula dengan kemasukan Guilherme De Paula sebagai sokongan kepada Bergson di bahagian hadapan.”
Mora turut mengimbangkan pasukannya dengan kehadiran beberapa pemain dari JDT II.
“Kami juga telah menyenaraikan beberapa pemain muda dari JDT II seperti Feroz Baharudin, Chia Ruo Han dan Firdaus Ramli kerana aksi memberangsangkan mereka ketika latihan dan pastinya mereka akan mendapat pengalaman yang berharga.”