Pengerusi Jawatankuasa Naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Yusoff Mahadi mempertahankan pengambilan Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi sebagai pemain naturalisasi kebangsaan.
Ini selepas kedua-dua pemain itu menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan, malah De Paula hanya menjaringkan satu gol sepanjang pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan ini.
Namun Yusoff meminta semua pihak untuk memberi sedikit masa kepada kedua-dua pemain itu mencapai keserasian bersama skuad Harimau Malaya.
“Saya harap mereka dapat menggunakan pengalaman dimiliki,” katanya kepada Bernama.
“Ini untuk lebih memahami serta mengadaptasi corak permainan Harimau Malaya sekiranya dipanggil lagi menyertai skuad negara pada masa depan.”
Mohamadou Sumareh turut berdepan kritikan kerana gagal menunjukkan sebarang impak sepanjang pusingan kelayakan kali ini.
Bagaimanapun, Yusoff yang juga pengurus skuad kebangsaan menganggap pilihan pemain naturalisasi adalah sangat terhad ketika ini.
“Tetapi saya yakin kita akan mempunyai tambahan empat atau lima pemain naturalisasi yang boleh dipertimbangkan untuk menyarung jersi kebangsaan bagi tempoh dua tahun akan datang.”
Justeru, Yusoff tetap mempertahankan program naturalisasi FAM yang kerana objektifnya adalah untuk memperbaiki prestasi skuad Harimau Malaya.
“Dari segi peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu tidak salah untuk mengambil pemain naturalisasi.
“Kita cuma mencari ruang dengan memberi pilihan kepada jurulatih untuk membantu pasukan Harimau Malaya.”