Liga Super Malaysia Berita

Ong Kim Swee belum sedia kendali pasukan liga

Walaupun Ong Kim Swee dilaporkan mendapat beberapa tawaran daripada pasukan liga, namun beliau lebih berminat untuk meneruskan kariernya dalam membantu pembangunan akar umbi.

Selepas kontraknya sebagai jurulatih B-22 negara tidak diperbaharui, beliau ditawarkan untuk bekerja sebagai ketua jurulatih dalam pembangunan akar umbi FAM.

“Ada beberapa tawaran tapi saya perlu pertimbangkan beberapa faktor,” katanya kepada NST.

“Tugas di FAM sudahpun diteruskan selama dua tiga tahun jadi ini bukanlah perkara baharu. Saya akan terus berkhidmat dalam pembangunan akar umbi untuk jangka masa panjang.

“Ada bahagian yang ingin saya dalami, lesen kejurulatihan remaja. Karier saya banyak tertumpu dalam perkara ini.”

Ong dijangka bekerjasama dengan NFDP dan juga akan melawat persatuan bolasepak negeri bagi memantau perkembangan semasa bakat pemain remaja.

Sebelum ini, ada desas-desus mengatakan bahawa Ong mendapat tawaran daripada Sabah, namun pasukan dari kepulauan Borneo itu akhirnya membuat keputusan untuk melantik jurulatih B-23 Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto.