Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan United hanya guna penyerang tempatan

Kelantan United dilaporkan telah mengemukakan tawaran kontrak kepada tiga pemain import bagi saingan Liga Perdana musim depan, namun tiada satu pun daripadanya adalah penyerang.

Setiausaha Eksekutif, Wan Mohd Zul Ikman berkata pasukannya berkemungkinan besar akan menggunakan tiga pemain import sahaja berbanding empat pemain kerana ingin memberi peluang kepada penyerang tempatan menunjukkan keupayaan mereka.

Tiga pemain import tersebut adalah pemain tengah Adil Kouskous dari Maghribi dan pemain pertahanan Alyton Alemao (Brazil) serta pemain musim lepas Gassama Al Fussainey (Gambia).

“Tiga pemain import itu beraksi di barisan tengah dan pertahanan kerana KUFC mahu memberi lebih peluang kepada penyerang tempatan beraksi bagi membuktikan kemampuan mereka,” katanya kepada Bernama.

Pemain tengah baharu Kelantan United, Adil Kouskous

“Kesemua pemain ini telah diuji dan menarik minat barisan kejurulatihan selain bersesuaian dengan keperluan dan peruntukan pasukan yang ada bagi kuota pemain import.

“Mereka telah menandatangani surat tawaran daripada pihak kami dan selepas 16 Januari depan mereka akan menandatangani kontrak penuh.”

Ketiga-tiga pemain import itu akan diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.