Liga Super Malaysia

Hamidin: Kim Pan-gon akan dibantu penolong jurulatih tempatan berkelayakan

Seorang penolong jurulatih tempatan akan dilantik untuk membantu Kim Pan-gon mengendalikan skuad kebangsaan bermula bulan depan.

Ini selepas jurulatih berasal dari Korea Selatan itu dijangka membawa empat pembantunya termasuk penolong jurulatih, jurulatih penjaga gol, jurulatih kecergasan dan juruanalisis.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pelantikan itu adalah penting bagi memudahkan Pan-gon memahami skuad Harimau Malaya sebelum mengharungi kelayakan Piala Asia 2023, Jun ini.

“Memang dalam perancangan kita,” kata Hamidin kepada Berita Harian.

“Kita akan buat perkara itu. Memang akan ada seorang daripada jurulatih tempatan akan berada di situ (skuad kebangsaan).”

Bagaimanapun, kata Hamidin, FAM akan memastikan bahawa pelantikan itu adalah dalam kalangan jurulatih berkelayakan.

“Bagi memudahkan Pan-gon, dia mesti ada seorang penolong jurulatih tempatan yang berkelayakan.

“Seorang yang ada sijil tinggi dan ada pengalaman mendalam serta boleh memberi gambaran yang sebetulnya mengenai pemain, budaya, cara permainan dan latar belakang pemain.

“Jika tidak, Pan-gon perlu ambil masa lebih lama. Dulu masa Karl-Heinz Weigang, dia berjaya pergi ke Olimpik sebab bantuan dari penolong jurulatih tempatan.

“Walaupun Weigang ada bawa jurulatih kecergasan dari Jerman, tapi banyak bergantung kepada jurulatih tempatan yang mana ramai orang tidak tahu. Datuk Mohamad Bakar juga ada bantu Weigang.

“Saya sudah bekerja dengan tujuh jurulatih import, saya tahu kalau mereka buat andaian sendiri akan ambil masa.”