Malaysia Berita

Hamidin: Beri saya masa, saya janji Harimau Malaya akan kembali mengaum

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tampil meminta semua pihak supaya memberikan beliau tempoh untuk memperbaiki prestasi skuad kebangsaan.

Ini setelah beliau berdepan dengan desakan hebat supaya meletakkan jawatan susulan prestasi hambar skuad Harimau Malaya yang tersingkir awal dalam Piala AFF Suzuki 2020, bulan lalu.

“Saya tahu banyak (desakan) datang dari netizen…penyokong,” kata Hamidin dalam sidang media hari ini.

“Mereka ada pendapat mereka, saya pun ada pendapat saya, saya hormat pendapat mereka.

“Untuk pengetahuan, saya baca kritikan membina. Kritikan yang tak membina, saya tak nak…yang personal attack, saya biarkan. Dah jadi lumrah netizen, tapi mana yang baik saya ambil.”

Hamidin juga menjelaskan mengapa beliau masih belum bersedia meletakkan jawatan sebagai Presiden FAM.

“Saya baru dapat mandat tahun ini, saya ada banyak perkara lagi yang saya nak buat, nak pastikan harimau kembali mengaum di Piala Asia dan Piala AFF.

“Kita di bawah statut dengan pesuruhjaya sukan, diberi mandat setiap empat tahun, hak mereka (presiden) kalau dipilih…nak berhenti bila, boleh berhenti, tapi perlu hormati apa yang kongres bagi pada mereka, tapi kalau atas sebab kesihatan mereka berhenti.

“Untuk exco termasuk saya ada KPI. KPI ini bukan melambangkan bila gagal kalah…keluar, itu bukan salah satu, tapi kita melihat satu KPI untuk mereka perlu sampai satu tanda aras, untuk jawatankuasa perlu melihat beberapa perkara perlu dilaksanakan.

“Kerana hak mereka kemudian akan kembali ke statut dan kongres berapa lama mereka ada dan saya lepas kongres, letak KPI untuk kita buat.”

Katanya, jika beliau meletakkan jawatan sekalipun, ia tidak akan menyelesaikan masalah yang dihadapi FAM.

“Kalau awak tukar presiden apa semua, takkan boleh (ubah)…bukan saya kata dengan ini semua, benda akan berpanjangan, kemelut lagi berpanjangan.

“Tapi saya yakin…beri saya masa untuk saya buat, saya pun baru tiga tahun jadi presiden, dua tahun Covid-19 macam mana saya nak memenangi Covid-19, Allah sahaja yang tahu, tapi saya tak mengidamkan untuk duduk 10, 20, 30 tahun, tak perlu.

“Saya tahu saya boleh buat, dengan connection saya dengan semua, bila saya jadi presiden, ucapan pertama saya untuk jawatan presiden FAM, dia dihukum dengan skuad kebangsaan, itu memang dah jadi lumrah.

“Tapi pada dasarnya tidak, tidak semestinya Jerman tak dapat layak Piala Dunia, semua orang kena keluar, taraf dia tinggi untuk Piala Dunia.

“Jadi, saya janji…saya akan pastikan Harimau Malaya ini akan mengaum balik, insya-Allah.”