Malaysia Berita

Hamidin jawab isu TMJ, program naturalisasi, post-mortem skuad Harimau Malaya

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tampil memberi maklum balas berhubung isu Tunku Ismail Sultan Ibrahim, program naturalisasi dan post-mortem skuad kebangsaan.

Beliau mengambil maklum tentang cadangan yang telah dikemukakan TMJ selaku bekas Presiden FAM berhubung skuad kebangsaan.

“Walau bagaimanapun, perkara tersebut perlu diperhalusi sebaiknya kerana FAM sebagai badan induk bola sepak negara mempunyai tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sesuatu keputusan atau ketetapan.”

Dalam pada itu, Hamidin juga telah meminta untuk mengkaji semula mengenai program naturalisasi.

“Saya telah mengarahkan sekretariat FAM untuk perkara ini dibincangkan oleh Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM secara bersama dengan Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM serta Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee bagi mengkaji tentang keberkesanan program pemain naturalisasi ini.”

Pada masa sama, Hamidin berkata Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM akan menunggu laporan penuh post-mortem daripada ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihannya selepas berakhir tempoh kuarantin pasukan, mengenai persembahan skuad Harimau Malaya sepanjang Pusingan 1 dan Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Ini termasuk persediaan awal pasukan bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal bermula pada Februari 2022 untuk dibincangkan dan diperhalusi dalam mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang akan datang.

“Kesemua perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan ini kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk dimuktamadkan.”