Malaysia Berita

Gara-gara Korea Utara tarik diri, keputusan Malaysia lawan Indonesia tidak akan dikira

Keputusan Korea Utara untuk menarik diri dari bersaing dalam kumpulan H pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 memberi kesan besar kepada semua pasukan yang bertanding.

Ini selepas AFC mengesahkan bahawa semua keputusan pasukan tempat kedua, ketiga dan keempat dengan pasukan tercorot setiap kumpulan tidak sah dan terbatal.

Keputusan itu dibuat bagi memastikan keseimbangan antara semua kumpulan.

Ini bermakna jika Malaysia menamatkan saingan di tempat kedua dalam Kumpulan G dan Indonesia di kedudukan tercorot, maka dua kemenangan dengan Indonesia sebelum ini tidak akan dikira.

Malaysia menduduki tangga kedua dalam Kumpulan G dengan 9 mata, dua mata di belakang Vietnam diikuti Thailand (8 mata), Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang meraih 6 mata dengan baki satu perlawanan dan Indonesia tanpa sebarang mata.

Enam daripada 9 mata diperoleh oleh skuad kebangsaan adalah hasil dua kemenangan terhadap Indonesia (3-2 dan 2-0) serta kemenangan 2-1 dengan Thailand.

“Akibatnya, selepas semua perlawanan pada pusingan kelayakan Piala Asia, keputusan perlawanan antara pasukan di tempat kedua dan kelima dalam Kumpulan A hingga G tidak diambil kira bagi memastikan penentuan seimbang berbanding kesemua naib juara kumpulan,” kata AFC dalam kenyataan.

“Ia mengurangkan sebarang kemungkinan keseimbangan antara tujuh kumpulan kelayakan yang disebabkan pengurangan penyertaan hanya empat pasukan dalam Kumpulan H, maka mekanisme baharu ini diguna pakai untuk memilih empat pasukan naib juara terbaik.”

Juara setiap kumpulan dan hanya empat pasukan naib juara yang terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Selepas selesai semua perlawanan kumpulan, kedudukan akan dikira berdasarkan jumlah mata tertinggi diikuti dengan perbezaan gol, jaringan, sistem mata ‘fair play’ (mengikut jumlah kad kuning dan merah) dan akhirnya melalui cabutan undi.

Malaysia berdepan UAE pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand pada 15 Jun.