Liga Super Malaysia Berita

Singapura tarik diri jadi hos Piala AFC 2021, apa nasib Terengganu dan Kedah?

Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) membuat keputusan untuk menarik diri daripada menjadi hos kepada kumpulan H dan I dalam saingan Piala AFC 2021.

Luar biasanya, keputusan itu dibuat dua hari sebelum perlawanan bagi kedua-dua kumpulan itu berlangsung pada 29 Jun hingga 6 Julai depan, melibatkan beberapa pasukan dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Singapura juga diwakili dua pasukan iaitu Lion City Sailors dan Geylang International.

“FAS bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan persekitaran yang selamat untuk semua pasukan yang bertanding.

“Bagaimanapun, situasi Covid-19 yang tidak dijangka di rantau ini menyebabkan pergerakan dari satu tempat ke satu tempat adalah satu perkara yang mencabar buat pasukan dari luar.

“Demi kepentingan pemain, pegawai dan komuniti tempatan, FAS membuat keputusan untuk tidak menjadi hos saingan Piala AFC peringkat kumpulan.

“FAS berterima kasih kepada AFC yang memahami situasi kami dan kami ucapkan selamat maju jaya kepada Piala AFC 2021.”

AFC dalam kenyataan balas berkata mereka mengambil maklum terhadap keputusan tersebut dan cabaran yang dihadapi disebabkan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Maklumat terperinci untuk saingan peringkat kumpulan Piala AFC 2021 akan diberitahu kelak.”

Keputusan itu dilihat agak malang selepas Terengganu dan Kedah baru sahaja mendapat kebenaran untuk berlatih secara kem latihan sebagai persiapan untuk Piala AFC.

AFC pula berdepan cabaran untuk mencari hos baharu, dengan Malaysia pastinya enggan menjadi hos memandangkan kes positif naik lebih 7,000 setakat ini, Filipina dan Indonesia juga mencatatkan lebih 6,000 kes.

Hanya Vietnam mempunyai angka kes yang rendah iaitu sekitar 200 kes ketika ini.