Liga Super Malaysia Berita

Khairul Shahril: Perak tidak akan dibubarkan

Perak memberi jaminan mampu memberi saingan dalam baki perlawanan Liga Super 2021 selepas kehilangan beberapa pemain tonggak ekoran kemelut kewangan yang melanda skuad The Bos Gaurus itu.

Ahli Lembaga Pengarah Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata biarpun mengakui sedikit ralat berikutan kehilangan beberapa pemain utama pasukan itu, beliau yakin skuad berkenaan mampu bangkit semula dengan barisan pemain muda sedia ada.

“Perak sebenarnya mempunyai kelebihan pemain muda yang cukup hebat,” katanya kepada Bernama.

“Biarpun saya agak ralat kerana kehilangan beberapa tonggak tetapi apa pilihan yang kita ada kerana perpindahan ini terbuka.

“Saya percaya kita mampu beri saingan dengan semua pemain yang ada. Kita ada perancangan yang setakat ini masih lagi tidak dapat dikongsikan.”

Pada 7 Mei lepas, Perak FC kehilangan kapten pasukan Shahrul Saad dan penyerang naturalisasi Guilherme De Paula yang berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala Kenny Pal Raj serta J Parthiban pula telah memuktamadkan keputusan menyertai KL City, Isnin lepas.

Dalam pada itu, Khairul Shahril turut menafikan khabar angin Perak akan dibubarkan sebaliknya pihak pengurusan sedang menjalankan usaha dan perancangan bagi menyelamatkan pasukan itu.

“Mana mungkin kita bubarkan Perak. Ia bukan sekadar tidak menggembirakan rakyat tetapi menyusahkan banyak pihak termasuk FAM, MFL dan pasukan lain yang terlibat sebab semuanya berkait, memang tiada langsung agenda menutup Perak.

“Dalam tempoh rehat dua bulan ini, kita akan perbaiki apa yang terkurang cuma masalah kita sebenarnya berkaitan dengan kewangan. Kita masih tidak dapat formula yang baik tapi usaha sedang berjalan.”