Malaysia Berita

Luqman Hakim tidak pulang beraya demi Malaysia

Luqman Hakim Shamsudin mengakui beliau membuat keputusan yang berat untuk tidak pulang beraya di kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan tahun ini.

Pemain KV Kortrijk berusia 19 tahun itu sebenarnya mempunyai peluang untuk kembali ke Malaysia memandangkan saingan Liga Belgium baru sahaja berakhir.

Namun, Luqman akui tidak mempunyai banyak masa dan harus mengekalkan tahap kecergasan yang tinggi sebelum menyertai skuad kebangsaan, memandangkan beliau tidak menjalani kem latihan bersama Tan Cheng Hoe di Malaysia, sebaliknya terus ke UAE pada 20 Mei ini.

“Saya sangat berterima kasih dan bersyukur rezeki saya, tuhan bagi untuk kali ini,” katanya kepada Harian Metro.

“Kita bermain untuk Malaysia, kita kena buat persediaan 100 peratus. Saya rasa berbangga juga dan terima kasih kepada jurulatih, Tan Cheng Hoe kerana memilih saya.

“Saya tak balik Malaysia ini sebab saya nak fokus. Saya nak fokus untuk bermain Malaysia, kalau nak ikutkan saya dah boleh balik 30 April lalu.

“Kalau ikutkan sempatlah beraya dengan keluarga, tapi saya fikir saya bermain untuk Malaysia jadi saya nak lakukan persediaan untuk Malaysia, ini tujuan utama saya.”

Bagaimanapun, Luqman tetap merindui suasana beraya bersama keluarga lebih-lebih lagi menjamah menu wajib hasil air tangan ibunya, Hasmah Che Soh.

“Paling saya rindu masakan rendang mak saya…rendang mak saya buat sedap. Tapi itulah ini pengorbanan saya, ini permulaan untuk saya merasai pengalaman beraya di tempat orang.

“Tapi itu bukan masalah buat saya kerana dekat sini saya boleh beraya dengan keluarga Malaysia dan boleh juga makan menu wajib Hari Raya. Ia juga boleh ubati rasa rindu saya di keluarga.

“Mak saya cakap itu yang awak nak (main bola), mak selalu sokong dan suruh tak payah balik lah adik. Duduk sana cari duit, cari pengalaman yang baru dan nanti-nanti boleh balik.

“Insya-Allah, panjang umur nanti kita boleh balik, lagipun sekarang ada teknologi saya buat panggilan video dah boleh lepas rindu.

“Saya nak ucapkan Selamat Hari Raya kepada ibu saya Hasmah Che Soh, ayah saya Shamsudin Mahmud, kakak saya, abang saya dan kawan-kawan di Malaysia.

“Walaupun PKP, saya harap anda semua duduk kat rumah dan paling penting dengar arahan daripada kerajaan. Bila semua dah ‘OK’ balik, semua dah boleh berapa…rayakan sebulan dan doakan yang baik-baik, InsyaAllah.”