E-Football Berita

Unifi eMFL Liga Super kembali, hadiah pemenang naik sehingga RM50,000

e-MFL Liga Super kembali untuk edisi kedua pada tahun ini, dengan nilai hadiah untuk pemenang dinaikkan sehingga RM50,000.

Kejohanan e-sukan bola sepak itu bakal membuka tirainya bermula 20 April hingga 9 Mei dengan MFL menjadi rakan kongsi liga rasmi bersama Electronic Arts (EA) Sports, penerbit FIFA 21 di Asia Tenggara.

CEO MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kenaikan nilai hadiah itu akan memberikan suntikan semangat kepada barisan pemain untuk bersaing dengan lebih sengit dalam kejohanan e-sukan itu.

Malah, Ghani yakin eMFL mampu menjadi salah satu platform pembangunan atlet sukan elektronik pada masa akan datang.

“Kita tidak boleh menafikan bahawa sukan elektronik semakin berkembang pesat,” katanya kepada Berita Harian.

“Karier pemain sukan elektronik juga berada di prestasi yang boleh dibanggakan. Kejohanan ini adalah satu perkembangan baik kepada atlet e-sukan dan lebih positif, Liga Malaysia dapat dikembangkan melalui saluran digital.

“Harapan saya adalah mahu melihat setiap pemain dapat memberikan yang terbaik pada kejohanan ini. Saya percaya kenaikan nilai hadiah sebanyak RM50,000 bukan sahaja menambah nilai prestij kejohanan malah memberikan semangat kepada pemain dan pihak di luar sana untuk memasang impian bermain di eMFL pada satu hari nanti.”

Saingan eMFL Liga Super turut menerima tajaan daripada pelbagai pihak iaitu Unifi, Nivea Men serta LG Ultragear selaku penaja monitor skrin dan Blackbox Studio selaku penaja jersi kejohanan.

MFL turut melantik Gamesbond sebagai rakan eksklusif untuk sama-sama mengurus dan mempromosikan kejohanan eMFL Liga Super.

Pemain yang terpilih adalah dalam kalangan 12 pemain Malaysia yang menghuni tangga teratas dalam ranking FIFA dan juara kejohanan akan melayakkan diri ke East Asia Regional Cup anjuran Electronic Arts membolehkan pemenang bersaing di peringkat antarabangsa.