Malaysia Berita

Harimau Malaya terima suntikan vaksin COVID-19 pertama minggu depan

Skuad bola sepak kebangsaan Malaysia akan menerima suntikan vaksin pertama COVID-19 minggu depan, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, proses suntikan vaksin itu akan diadakan pada 19 April (Isnin) meliputi 78 individu terdiri daripada pemain dan pegawai termasuk Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang dijangka menerima suntikan dos pertama COVID-19 di Dewan Seri Seroja, Putrajaya.

“Berkat usaha berterusan, kita dimaklumkan mereka sejumlah 78 orang pemain, jurulatih dan pegawai termasuk presiden, akan divaksinkan pada tarikh lebih awal,” katanya kepada Bernama.

Tambahnya lagi, memandangkan suntikan itu diberikan lebih awal, skuad kebangsaan dijangka sempat menerima suntikan vaksin dos kedua sebelum berlepas ke UAE untuk baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun depan.

“Maknanya mereka dapat selesaikan sebelum mereka berangkat ke Dubai,” kata Reezal.

Skuad kebangsaan akan mula menjalani kem latihan di Timur Tengah pada 16 Mei, serta mengadakan beberapa aksi persahabatan.

Malaysia akan berdepan tuan rumah UAE pada 3 Jun, Vietnam pada 11 Jun dan Thailand pada 15 Jun.