Luar Negara Berita

Nathaniel Hong Wan dalam radar FAM

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengakui pemain Wolves, Nathaniel Shio Hong Wan dalam radar badan bola sepak negara ketika ini.

Menurut laporan Harian Metro, FAM akan menghubungi pemain berusia 20 tahun itu jika dia benar-benar berminat untuk mewakili negara.

“Kalau memang dia main bersama Wolverhampton Wanderers maknanya pada saya dia memang salah seorang pemain yang boleh kata baik,” katanya.

“Jadi kalau dia berminat mewakili Malaysia kita akan cuba menghubungi dia untuk mendapatkannya, sebab kita pun tahu hanya melalui media.

“Kita mesti mendapatkan pengakuan sebenar pemain ini. Kalau dia berminat, kita boleh mengusahakan sesuatu.

“Ia bermakna kita dalam erti kata mengalu-alukan sebab kalau ada yang berdarah kacukan ini lebih mudah kita uruskan. Jadi kalau dia mempunyai kemampuan dan bahagian teknikal, kita merasakan sesuai, saya rasa tak ada masalah.

“Apa yang penting, pemain itu sendiri mahu ke tak mahu, jadi kita akan kenal pasti itu dulu.”

Yusoff juga mendedahkan bahawa Jawatankuasa Program Naturalisasi akan segera bermesyuarat sekiranya Nathaniel bersetuju untuk mewakili negara.

“Kita bila-bila masa akan mengadakan mesyuarat untuk melihat calon-calon yang dikatakan sesuai dan layak mewakili pasukan negara.

“Jadi kalau pemain ini dilihat menepati semua syarat, saya kira kita akan menyegerakan proses kerana seperti saya katakan awal tadi, untuk pemain ini mudah kerana dia ada pertalian darah dengan Malaysia. Jadi tak ada masalah besar.”

Nathaniel layak mewakili negara apabila ibunya berasal dari Tangkak, Johor.

Selain Nathaniel, seorang lagi pemain kacukan Malaysia di Premier League iaitu Jaami Qureshi mewakili Brighton.