Liga Premier Malaysia Berita

Kelantan akhirnya bebas dari sekatan perpindahan pemain

Kelantan akhirnya bebas dari sebarang sekatan perpindahan pemain tempatan dan import yang dikenakan oleh FIFA sebelum ini.

Penasihat Undang-undang Kelantan FC, Shairuz Sheffie berkata keputusan itu dibuat selepas FIFA mengesahkan bekas pemain Kelantan, Cassio telah menerima resit bayaran daripada pasukan Pantai Timur itu.

Dalam sepucuk surat yang ditulis oleh pegawai undang-undang FIFA, Maria E. Dominguez Rubio menyebut disebabkan penyelesaian itu, Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian mengesahkan larangan terhadap Kelantan untuk mendaftar pemain baharu ditarik balik.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T berita yang cukup menggembirakan buat Kelab TRW Kelantan FC telah diterima,” katanya dalam kenyataan.

“Kini Kelantan FC bebas dari sekatan ‘Transfer Ban’ dan boleh mendaftarkan pemain baru untuk musim 2021.

“Kami dengan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada Fahmi Zhafri Ashraf & Co atas kerjasama yang amat baik dalam usaha membantu membebaskan kelab dari sekatan perpindahan yang telah dikenakan kepada pasukan sebelum ini.

“Pihak kelab juga mengucapkan terima kasih kepada FIFA, FAM, KAFA, MFL dan semua pihak yang menyokong dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk kemajuan kelab ini.

“Insya-Allah, pasukan Kelantan FC bersedia bersaing pada musim 2021.”