Safawi Rasid disahkan akan kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia bagi musim 2021.
Ini bermakna pemain berusia 23 tahun itu kemungkinan akan memendekkan tempoh pinjamannya di Portimonense dan akan kembali ke Malaysia pada jendela perpindahan pemain pada bulan Januari ini.
“Safawi akan kembali bermain dengan JDT untuk musim 2021, 100 peratus,” kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam rancangan Bola@Mamak terbitan Astro Arena.
“Jadi sayap kanan JDT ada Safawi, Arif Aiman dan sebelah kiri ada Ramadhan Saifullah dan Akhyar Rashid, boleh tahanlah.”
Safawi menyertai kelab Portugal, Portimonense pada bulan Oktober namun sehingga hari ini beliau tidak mendapat sebarang minit permainan.
TMJ juga mendedahkan dua pemain baharu akan menyertai JDT iaitu pemain pertahanan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Isaac Angking dan penyerang Argentina berusia 28 tahun yang tidak didedahkan nama.
Bagaimanapun, TMJ berkata beliau perlu mendapat restu daripada Pahang terlebih dahulu sebelum ingin menandatangani Mohamadou Sumareh.
Pada masa sama, TMJ mengesahkan pemain importnya, Gonzalo Cabrera akan layak melalui proses naturalisasi tidak lama lagi.
Setakat ini, hanya Danial Amier Norhisham disahkan sebagai pemain baharu yang menyertai JDT pada musim depan.
JDT memiliki empat pemain import ketika ini iaitu Mauricio, Gonzalo Cabrera, Hariss Harun dan Leandro Velazquez manakala Diogo Luis Santo sudah meninggalkan pasukan.