Datuk Seri Bung Moktar Radin berhasrat untuk menstrukturkan semula Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bagi memajukan bola sepak Sabah.
Beliau baru sahaja dilantik sebagai pemangku presiden SAFA, beberapa bulan selepas menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah.
Bernama melaporkan, keputusan itu dibuat bagi memastikan badan induk bola sepak negeri itu ‘merekodkan prestasi lebih baik demi pembangunan bola sepak negeri dan negara.’
“Selaku pemangku presiden SAFA, menjadi kewajipan saya untuk menyusun semula SAFA dan mengenal pasti kelemahan persatuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Bung berpandangan individu berpengalaman perlu untuk menyumbang kepakaran dan idea bagi mengembangkan potensi sukan bola sepak Sabah termasuk melahirkan bakat baharu.
Pada masa sama, Bung berharap pengalamannya sebagai penaung pasukan FELCRA FC dapat membantu Sabah kekal dalam saingan Liga Super.
“Pengalaman ini, selain pernah berkecimpung dalam sukan bola sepak daerah dan negeri dulu, akan saya gunakan untuk memajukan pasukan Sabah. Apa yang penting, kita beri keyakinan kepada pemain, pasukan dan pengurus untuk mengurus organisasi ini dengan baik, pasti hasilnya juga baik,” katanya.