Liga Super Malaysia Berita

Pemain muda JDT, Ramadhan Saifullah enggan hanyut dengan pujian

Ramadhan Saifullah Usman mendapat perhatian meluas sejak beraksi dalam beberapa perlawanan dengan JDT.

Prestasinya yang cemerlang sehingga menjaringkan empat gol dalam saingan Liga Super membuatkan peminat terpesona.

Malah, jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe turut memuji pemain berusia 19 tahun itu.

Akan tetapi, Ramadhan enggan hanyut dengan liputan media mahupun sekadar berbangga dengan pujian semata-mata.

“Saya tidak boleh cepat berpuas hati,” katanya kepada Harian Metro.

“Masih banyak lagi yang saya perlu tingkatkan dan perbaiki untuk menjadi pemain bagus.

“Sepanjang bersama JDT, banyak yang dipelajari kerana saya bermula daripada bawah sebelum diberi peluang menyertai pasukan utama.

“Empat gol yang dijaringkan adalah permulaan baik untuk saya bersama skuad utama namun saya tidak boleh cepat berpuas hati kerana terlalu awal untuk rasa seperti itu, perjalanan karier saya juga masih jauh.”

Ramadhan bagaimanapun berharap beliau dapat menarik perhatian Cheng Hoe kerana seperti pemain lain, beliau mengimpikan untuk mewakili negara.

“Sudah pasti saya teruja kerana aksi saya mendapat perhatian ketua jurulatih Cheng Hoe. Bermain bersama skuad kebangsaan adalah impian semua pemain termasuk saya.

“Jika diberi peluang saya pasti cuba berikan yang terbaik kerana peluang tidak hadir banyak kali tapi buat masa ini tumpuan utama saya buat pasukan JDT.”