Liga Super Malaysia Berita

Sathia: Berhenti guna perkataan direhatkan, itu istilah pondan

Jurulatih Selangor, B Sathiananthan menempelak tindakan sesetengah pasukan yang masih mengamalkan kaedah merehatkan untuk memecat jurulatih.

Ini selepas Kelantan United bertindak merehatkan Zahasmi Ismail serta barisan kejurulatihannya walaupun saingan Liga Premier hanya berbaki empat perlawanan.

Beliau berkata, jika pengurusan pasukan benar-benar tidak mahukan seseorang jurulatih itu, mereka haruslah menamatkan perkhidmatan secara profesional.

“Jangan guna rehat kerana ia adalah istilah pondan. Kalau nak singkir cakap sahaja singkir,” kata Sathia kepada Utusan.

“Kalau nak suruh saya rehat, saya tidak boleh terima. Jika nak rehat, mereka kenalah bayar gaji.”

Ketika ditanya mengenai status kontraknya di Selangor, Sathia juga berharap majikannya bersikap profesional.

“Itu terpulang kepada persatuan tetapi kalau nak ‘rehatkan’ saya, bayar gaji saya ikut kontrak dan jangan buang masa saya.

“Saya seorang yang pro­fesional. Dalam tujuh perlawanan terakhir, hanya sekali kami kalah, jadi jangan cakap ­banyak.”

Dalam tujuh perlawanan Liga Super musim ini, Selangor hanya kalah kepada Kedah 2-0 di Stadium Darul Aman pada 15 Mac.

Bagaimanapun empat keputusan seri menyebabkan anak-anak buah Sathianathan menghuni tangga keenam liga dengan 10 mata, sembilan mata di belakang pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Selangor akan berdepan JDT dalam saingan Liga Super, Sabtu ini.