Liga Super Malaysia Berita

FAM perlu dedahkan jumlah gol rasmi yang dijaringkan oleh Mokhtar Dahari

Walaupun Cristiano Ronaldo menghiasi tajuk-tajuk utama apabila menjaringkan gol ke-100 dan 101 ketika mewakili Portugal, Mokhtar Dahari pula yang mencuri tumpuan peminat Malaysia.

Dalam kalangan peminat, Mokhtar sentiasa dianggap sebagai penyerang dan pemain paling hebat dalam sejarah bolasepak Malaysia.

Namun, tidak ramai yang benar-benar mengetahui berapa banyak gol sebenarnya yang dijaringkan oleh Mokhtar sepanjang hidupnya.

Bilangan gol yang sering digembar-gemburkan adalah 125 gol, namun bukan semua gol yang dijaringkan dalam perlawanan kelas A yang diiktiraf oleh FIFA.

Pun begitu, hasil usaha beberapa peminat bolasepak dan bukannya FAM, mereka berjaya mencatatkan setiap gol rasmi yang dijaringkan oleh Mokhtar, dengan jumlahnya ialah 85 gol.

Malah, nama Mokhtar turut tercatat dalam laporan media CNN.

Ini bermakna, Mokhtar merupakan pemain kedua yang paling banyak menjaringkan ketika skuad kebangsaan selepas Ali Daei.

Ia satu pengiktirafan besar buat negara, kerana Malaysia mampu menghasilkan salah satu pemain terhebat dalam sukan bolasepak.

Namun, para peminat mengharapkan FAM dapat menerbitkan rekod yang melibatkan skuad kebangsaan, seperti penjaring terbanyak negara dan pemain paling banyak mewakili negara.

Ini supaya peminat muda dapat mengetahui dan menghargai sejarah bolasepak negara.