Liga Super Malaysia Berita

Kedah kekalkan jurulatih, pemain yang terima pengurangan gaji musim depan

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengakui pihaknya hanya akan mengekalkan jurulatih dan pemain yang boleh menerima pengurangan gaji pada musim depan.

Ini kemungkinan selepas pasukan itu dilanda masalah tunggakan gaji dan berhutang sehingga RM10.5 juta.

“Saya ucap terima kasih kepada pemain yang sedia berbincang bab ini,” kata Sanusi kepada Sinar Harian.

“Mereka yang boleh terima pengurangan gaji atau tangga gaji baru kelak, mungkin kekal.”

Namun Sanusi tidak menolak kemungkinan beberapa pemain akan meninggalkan pasukan selepas tamat musim 2020.

“Kita bersikap terbuka kerana kemungkinan bayaran tidak setimpal dengan kemahiran dimiliki, menyebabkan mereka pilih pasukan lain.

“Namun harapan saya mahu anak Kedah kekal. Selain dapat pendapatan di negeri kelahiran, adalah lebih baik kita mencari makan di tempat sendiri. Ada yang berhijrah cari pengalaman luar, setahun dua mereka kembali. Taburlah budi di Kedah.”

Sanusi juga mengakui Kedah belum berunding dengan Aidil Sharin berhubung penyambungan kontrak.

Ini selepas jurulatih yang berasal dari Singapura itu menerima tawaran daripada pasukan lain terutamanya Perak.

“Saya belum bincang dengan Aidil. Tukar atau kekal jurulatih adalah perkara biasa dalam bola sepak.

“Ini negara demokrasi, siapa pun boleh pergi ke mana yang dia suka.

“Namun selagi kontrak bersama Kedah belum tamat, dia akan terus berkhidmat di sini.

“Apabila kontrak tamat, mereka bebas berkhidmat dalam pasukan yang mereka ingini.”