Liga Super Malaysia Berita

FA ke FC: Dua pasukan Liga Super, satu pasukan Liga Perdana belum bergerak

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mendedahkan terdapat tiga pasukan iaitu dua dari Liga Super dan satu dari Liga Perdana masih belum memulakan proses pemisahan dan penswastaan persatuan kepada kelab bolasepak.

Malah, ketiga-tiga pasukan itu belum memulakan proses mendapatkan pelesenan kelab yang akan ditutup pada 31 Ogos ini.

Selain tiga pasukan tersebut, lima pasukan lagi sudah memulakan proses namun pergerakannya agak perlahan setakat ini.

“Mungkin pengurusan pasukan belum buat keputusan, mungkin ada pertukaran pengurusan dan mungkin juga kerana enggan bergerak,” kata Stuart.

“FAM sentiasa bekerjasama dengan pasukan dan membantu pelaksanaan proses penswastaan serta memberi sokongan, penjelasan dan menyediakan maklumat tetapi kelapan-lapan pasukan ini perlu lajukan proses tersebut.

“Sebabnya, proses penswastaan mungkin memerlukan masa dari segi perlu mendapatkan kelulusan exco atau kongres, mungkin perlu buat mesyuarat serta mendaftarkan syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).”

Stuart juga menafikan ketiga-tiga pasukan itu adalah daripada pasukan yang mempunyai masalah hutang mahupun tunggakan gaji.

“Pasukan yang tidak bergerak itu bukan dari kalangan pasukan yang berhutang. Pasukan yang berhutang sudah pun bergerak ke arah penswastaan.

“Tidak ada sebarang isu jika pasukan itu berhutang tetapi mahu mendaftar syarikat ataupun diambil alih oleh sebuah syarikat, tetapi isunya pada pelesenan kelab.

“Kalau FA tidak dapat lesen kelab, pasukan tidak boleh main tahun depan.

“Sebab itu keutamaan FAM adalah pelesenan kelab dan kemudian penswastaan boleh dibuat selepas mendapat lesen. Kalau tubuhkan syarikat tapi tak dapat lesen tidak ada gunanya.”

Stuart berkata jika ada pasukan yang tetap gagal mendapatkan lesen kelab pada tahun ini, mereka perlu beraksi di Liga M3.

“Tapi tahun depan pasukan Liga M3 pun kena ada lesen. Jadi pada, musim 2022 kena ada lesen, pasukan tak boleh lari jauh dari sistem pelesenan kelab.”

Stuart juga berkata, lima pasukan yang sudah memulakan proses pelesenan dan penswastaan memerlukan kelulusan dan menerima surat rasmi dari FAM terlebih dahulu sebelum didedahkan secara umum.