Liga Premier Malaysia Berita

Prestasi Selangor 2 kejutkan Pahang

Ketua jurulatih Selangor 2, Michael Feichtenbeiner menyifatkan barisan pemain kini dalam keadaan terbaik dan cukup bersedia untuk kembali memulakan saingan Liga Premier 2020 pada 26 Ogos ini selepas menilai tiga aksi perlawanan persahabatan yang diharungi setakat ini.

Feichtenbeiner nyata berpuas hati dengan progres yang telah ditampilkan oleh setiap pemain bermula daripada perlawanan persahabatan pertama menentang UiTM FC, PJ City FC dan terbaru berdepan Pahang FA .

Meskipun tewas dalam dua perlawanan pertama, namun, skuad muda Selangor 2 ini berjaya mempamerkan peningkatan yang positif untuk menewaskan anak buah Dollah Salleh dengan keputusan 3-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Namun, jelasnya keputusan aksi persahabatan bukanlah menjadi ukuran utama, tetapi sekurang-kurangnya beliau dapat menilai tahap kecergasan barisan pemain selepas lebih empat bulan tidak beraksi di atas padang dan nyata kemampuan pasukan tidak menghampakan setakat ini.

“Saya setakat ini memang berpuas hati dengan apa yang telah mereka lakukan dalam tiga perlawanan pertama kerana pemain-pemain berjaya perbaiki prestasi dalam setiap perlawanan, terutamanya selepas menang 3-2 ke atas Pahang.

“Apatah lagi, kami beraksi menentang pasukan CIMB Liga Super dan sememangnya ia cukup mencabar, tetapi amat bagus untuk prestasi anak buah saya agar mereka dapat cabar kemampuan masing-masing sebelum aksi sebenar Liga Premier bermula.

“Saya boleh katakan, apa yang telah mereka lakukan dalam latihan selama ini termasuklah latihan secara sendiri ketika di rumah berjaya dipraktikkan dengan baik atas padang dan sememangnya kami sudah cukup bersedia untuk kembali beraksi, kurang daripada dua minggu ini,” jelasnya.

Setakat ini, tiada kecederaan serius yang melanda setiap pemain dan untuk itu, mereka perlu sentiasa berwaspada dalam setiap perlawanan persahabatan selepas ini bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Dan untuk itu, Feichtenbeiner menggesa anak buahnya untuk terus mengekalkan momentum yang ada bagi berdepan pasukan Terengganu FC pula esok.

“Nak mendapatkan kemenangan memang bukan mudah kerana pemain-pemain semuanya muda kalau nak dibandingkan dengan pasukan yang lebih berpengalaman yang telah kami lawan setakat ini.

“Cuma apa yang saya harapkan pemain tahu apa yang perlu dilakukan mereka untuk mengekalkan prestasi terbaik dan perlu memastikan tiada kecederaan yang akan berlaku menjelang saingan sebenar 26 Ogos ini.

“Apa-apa pun kita fokus satu persatu untuk pasukan sentiasa bersedia dengan persiapan terbaik, dan saya tidak melakukan penukaran pemain pun untuk aksi semalam ketika menentang Pahang kerana ingin pemain lain kembali fokus kepada perlawanan berdepan Terengganu pula”, tambahnya.

Selangor 2 ketika ini menghuni tangga kelima Liga Premier 2020 selepas empat perlawanan pada musim ini.