Malaysia Berita

AFC beri sebab Kejohanan B-19 di Uzbekistan tidak ditunda

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John mengesahkan pihaknya tidak akan menunda Kejohanan AFC B-19 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada Oktober ini.

Ini meskipun Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda dan akan dijadualkan semula pada tahun hadapan.

Windsor menjelaskan, Kejohanan AFC B-19 boleh diteruskan kerana pertandingan itu diadakan di satu tempat iaitu Uzbekistan, memudahkan untuk memantau pergerakan pemain dan pegawai pasukan.

Malah, kes di Uzbekistan semakin berkurangan, dengan kerajaan negara itu membenarkan semula penerbangan antarabangsa.

“Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 meliputi 40 negara,” kata Windsor kepada Harian Metro.

“Mereka perlu beraksi dalam perlawanan timbal balik sekali gus memerlukan pasukan lawan memohon kebenaran dan menjalani kuarantin.

“Malah, ada antara negara yang masih tinggi kes penularan COVID-19 dan tidak membuka pintu sempadan kepada orang luar sekali gus sukar untuk meneruskan perlawanan itu dalam masa terdekat ini.

“Setakat ini, tiada perubahan membabitkan perlawanan terbabit dan pasukan boleh menjalani latihan seperti biasa.”