Malaysia Berita

Perlawanan persahabatan Malaysia: Ini pandangan FAM

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengakui pihaknya masih belum dapat membuat keputusan sama ada perlawanan persahabatan untuk skuad kebangsaan akan diadakan atau sebaliknya.

Ini selepas AFC membuat keputusan untuk menunda semua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan akan dijadualkan semula pada tahun hadapan.

Stuart menjelaskan, FAM memerlukan sedikit masa untuk menilai situasi semasa sebelum membuat keputusan.

“Ada perbincangan dibuat dengan jurulatih Tan Cheng Hoe dan mungkin tak ada peluang untuk adakan perlawanan

“Tapi mungkin ada kem jangka pendek akan dibuat dengan skuad kebangsaan supaya pemain tidak kekok nanti.”

Bagaimanapun, perancangan perlawanan persahabatan dan kem jangka pendek memerlukan tarikh dan masa yang sesuai dengan jadual perlawanan JDT.

“Tarikh dan masa perlu dibinangkan untuk kita sesuaikan dengan jadual AFC Champions League bagi memberi peluang kepada JDT beraksi selaku penyumbang utama kepada kedudukan Malaysia di pentas Asia.

“Jadi perbincangan akan diadakan dalam minggu depan.”

Mengulas lebih lanjut, Stuart mendedahkan sememangnya terdapat perbincangan dengan beberapa negara lain untuk mengadakan perlawanan persahabatan, namun hanya Bahrain dan Kuwait mengesahkan keinginan mereka untuk beraksi.

“Memang ada perbincangan dan persetujuan dengan persatuan bolasepak dari negara-negara lain tetapi nak dapatkan pengesahan itu sukar sebab keputusan FAM tertakluk kepada MKN dan KKM.

“Kalau kerajaan tidak beri peluang bermain, kita kena terima dalam keadaan pandemik ini. Kita pun tidak mahu apa-apa perkara buruk terjadi.

“Lagipun susah untuk keluar masuk negara kita dan negara lain. Paling sesuai untuk buat perlawanan pun pada bulan November tetapi itu perlu diputuskan oleh jawatankuasa pasukan kebangsaan.”