Liga Premier Malaysia Berita

Ancaman COVID-19, pasukan dari Borneo mahu habiskan saingan liga di Semenanjung

Setiausaha Kuching FA, Iswandi Ali Hassan bimbang ancaman penularan wabak COVID-19 akan memberi kesan kepada perjalanan saingan Liga Malaysia yang akan bersambung pada 26 Ogos ini.

Ini selepas lima pemainnya menghidap wabak COVID-19 dari Kluster Sentosa sehingga terpaksa menjalani kuarantin selama 14 hari.

Beliau berkata, lebih selamat jika semua pasukan dari Borneo berkampung di Lembah Klang buat sementara waktu bagi melengkapkan musim ini.

“Kuching FA melihat cadangan menempatkan ketiga-tiga pasukan ini di Semenanjung ini sebagai sesuatu yang positif khasnya bagi memastikan perjalanan liga berjalan lancar semula,” katanya kepada Sinar Harian.

“Cumanya Kuching FA berharap cadangan ini dapat dilaksanakan segera oleh MFL kerana prosedur operasi standard (SOP) kerajaan Sarawak sentiasa berubah berdasarkan situasi semasa COVID-19 di negeri ini.

“Sekiranya kes COVID-19 mencatatkan peningkatan ketika aksi baru berlangsung satu dua perlawanan, ia tidak hanya memberi kesan kepada tuan rumah tetapi juga pasukan pelawat khasnya dari aspek motivasi dan tumpuan terhadap perlawanan.”

Iswandi juga mengakui para pemain pasukannya masih ketakutan selepas dilanda wabak COVID-19.

“Pemain sebenarnya masih lagi dalam keadaan fobia untuk memulakan latihan kembali dalam masa terdekat walaupun tempoh kuarantin akan berakhir tidak lama lagi susulan dengan apa yang berlaku sebelum ini

“Kita berdoa semoga hasil keputusan ujian calitan kedua pemain, jurulatih dan pegawai Kuching FA negatif, namun sekira sebaliknya berlaku kita kena fikir pilihan lain yang terbaik demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.”

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Jefry Lana juga menganggap risiko yang dihadapi pasukan dari Borneo akan menjadi berkurangan jika ditempatkan di Semenanjung buat sementara waktu, dan berharap MFL dan FAM dapat memikirkan jalan penyelesaian.

“Ini perlu dilihat secara jangka panjang dalam aspek kualiti permainan yang akan dipamerkan pasukan kerana liga bersambung untuk beberapa bulan selain memastikan saingan liga kembali berjalan lancar.

“Sarawak United memang menyokong cadangan ini, namun pada masa sama FAM atau MFL perlu bagi bantuan subsidi dari segi kewangan untuk mengurangkan beban kos operasi kewangan ketiga-tiga pasukan ini.”