Liga Super Malaysia Berita

Stadium Shah Alam ditutup dua tahun, jalani kerja baik pulih

Nampaknya Stadium Shah Alam memerlukan masa yang lebih lama untuk menjalani kerja-kerja baik pulih.

Ini selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendedahkan bahawa kerja-kerja baik pulih stadium itu memerlukan masa dua tahun sebelum dibenarkan beroperasi semula.

Beliau berkata, walaupun pihak pengurusan Stadium Shah Alam iaitu Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) Sdn Bhd dibenarkan untuk memulakan kerja baik pulih sejak Mac lalu, ia tergendala disebabkan wabak COVID-19.

“Perancangan awal baik pulih Stadium Shah Alam seawal Mac lalu sedikit terjejas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia hanya dapat bermula sedikit masa lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

“Kerja-kerja baik pulih akan membawa kepada penutupan Stadium Shah Alam selama dua tahun iaitu sehingga 2022.

“Namun, ia bergantung kepada pakej baik pulih yang dipersetujui sama ada melibatkan kerosakan kritikal ataupun baik pulih keseluruhan bagi memastikan stadium berada pada tahap maksimum.

“Kerajaan negeri dan DEFM Sdn Bhd akan berusaha keras bagi memastikan mercu tanda sukan di Selangor ini mendapat pembelaan sewajarnya, apatah lagi Stadium Shah Alam menjadi gelanggang keramat The Red Giants.”

Amirudin juga berharap Stadium Shah Alam dapat berfungsi dengan baik selepas ini supaya Selangor dan para peminat dapat hadir ke stadium dengan selamat.

“Kami sangat berharap penyokong dapat memahami proses jangka masa panjang ini bagi pihak kerajaan negeri dan DEFM Sdn Bhd bagi memastikan kerja baik pulih Stadium Shah Alam tidak akan menimbulkan isu lagi sebaik dibuka kembali.’

Awal musim ini, Selangor dikejutkan dengan kerosakan bumbung di Stadium Shah Alam sehingga membahayakan penonton yang hadir.

Stadium tersebut kemudian ditutup sementara bagi mengenal pasti tahap kerosakan, sebelum MFL membuat keputusan muktamad untuk melarang Selangor daripada menggunakan stadium itu musim ini.