Malaysia Berita

Ini pandangan Tan Cheng Hoe mengenai De Paula

Status proses naturalisasi Guilherme de Paula masih lagi menjadi tanda tanya, tetapi jurulatih negara Tan Cheng Hoe berharap FIFA dapat memberikan berita baik tidak lama lagi.

Ini selepas FIFA sudah memberikan kebenaran rasmi kepada pemain tengah, Liridon Krasniqi untuk mewakili negara, dan perkara itu disahkan sendiri oleh FAM.

Bagaimanapun, skuad kebangsaan masih memerlukan seorang penyerang berbisa, selepas posisi itu ketandusan bakat baharu.

Ini boleh dibuktikan menerusi lima perlawanan terakhir skuad kebangsaan pada tahun 2019, yang menyaksikan hanya pemain sayap seperti Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh serta pemain tengah seperti Brendan Gan yang berjaya menjaringkan gol.

Jika Safawi dan Sumareh tidak dapat menjaringkan gol, Malaysia tidak mempunyai pemain lain yang boleh diharapkan untuk menjaringkan gol.

Malah, meskipun Shahrel Fikri dan Syafiq Ahmad menunjukkan potensi tersendiri, kedua-dua penyerang itu kurang menyerlah dalam perlawanan berintensiti tinggi seperti kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Sekurang-kurangnya, kemasukan De Paula yang sudah menjaringkan lebih 60 gol sepanjang beraksi di Liga Malaysia dapat memberi alternatif kepada skuad kebangsaan untuk menghasilkan gol sekaligus meraih kemenangan.

Sebab itu, Cheng Hoe sudah memiliki perancangan terhadap De Paula dan berharap FIFA akan memberikan kebenaran secepat yang mungkin.

“Buat masa sekarang saya masih tunggu keputusan De Paula daripada FIFA,” katanya kepada Harian Metro.

“FAM sudah membuat permohonan dan kalau ada memang bagus, kalau tak ada kita kena cara alternatif lain untuk pasukan kebangsaan.”

Skuad kebangsaan akan kembali beraksi dalam pusingan kelayakan Kumpulan G berdepan UAE di Dubai pada 8 Okt, Vietnam di Bukit Jalil pada 13 Okt dan Thailand di Bangkok pada 17 Nov.