Liga Super Malaysia Berita

Selepas dikritik pilih jawatan, ini luahan hati Khalid Jamlus

Situasi Khalid Jamlus ketika ini jika dibandingkan semasa beliau masih lagi bergelar pemain, adalah amat berbeza.

Kalau dahulu beliau disanjung sebagai seorang penyerang berbisa negara, hari ini beliau dihujani dengan kritikan, kerana dianggap sebagai seorang yang hanya mahukan jawatan tinggi seperti jurulatih dengan pasukan Liga Malaysia, tanpa bermula dari peringkat bawah.

Semua ini timbul apabila Khalid bertindak melelong barang peribadinya, termasuk Kasut Emas yang dimenanginya satu ketika dahulu, demi menyara keluarganya selepas tiga tahun tanpa kerja dalam bidang kejurulatihan bolasepak.

Namun, apabila beliau menyatakan betapa sukarnya untuk mendapat jawatan jurulatih dalam Liga Malaysia sehingga tidak sengaja menghina jurulatih akar umbi dan pekebun, ia menimbulkan persepsi negatif serta-merta.

Malah, apabila ditawarkan tempat di Akademi Mokhtar Dahari, sudah tentu persoalan mengapa Khalid sahaja yang diberikan keistimewaan sebegitu rupa akan timbul.

Bagaimanapun, Khalid tampil mendedahkan perancangannya yang sebenar.

“Apabila kita nak belajar, kita kena duduk dalam pasukan sebab kalau duduk di luar, kita tidak tahu apa yang berlaku di dalam,” katanya kepada Harian Metro.

“Kalau bukan sebagai nombor dua (pembantu jurulatih), kalau jadi nombor lapan pun saya sanggup sebab saya nak duduk dalam pasukan dan belajar.

“Itu sebenarnya perancangan saya. Saya bukan kata nak terus jadi ketua jurulatih, itu salah.

“Sekarang pun barisan kejurulatihan boleh sampai lapan ke sembilan orang.

“Secara jujurnya nombor enam atau tujuh pun boleh dengan syarat saya nak belajar.

“Saya ada bercakap dengan beberapa jurulatih dan meminta peluang kerana kalau saya tidak duduk di dalam, bagaimana saya nak teruskan perjalanan dan dapatkan pengalaman.

“Kalau nombor lapan pun tetapi saya di dalam, saya boleh belajar dan lihat bagaimana jurulatih uruskan pasukan dan pembantu jurulatih buat kerja. Sebelum ini pengalaman dua tahun bersama PDRM, tidak cukup dan saya kena belajar lagi.

“Apapun, saya kena ikut langkah demi langkah dan buat apa yang diperlukan. Selain lesen kelas A, ada juga aspek lain yang perlu dilakukan dan saya akan beri tumpuan kepada perkara ini.”