Liga Super Malaysia Berita

Khalid Jamlus minta maaf

Khalid Jamlus memohon maaf kepada semua pihak selepas mengeluarkan kenyataan yang merendah-rendahkan jurulatih pemain akar umbi dan pekerjaan pekebun.

Kenyataan itu mendapat kecaman pelbagai pihak yang mengganggap bekas pemain kebangsaaan itu seolah-olah tidak menghormati pekerjaan yang bergaji rendah.

Bagaimanapun, beliau memohon maaf terhadap kenyataannya, malah Khalid mengakui pernah bekerja dengan pekerjaan bergaji rendah.

“Selepas saya tamat menjadi jurulatih PDRM FA, saya bekerja menjadi ‘runner’ di APAD,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

“Adakah saya berlagak dan memilih kerja? Tidak, saya pun pernah bekerja sebagai kuli di satu syarikat kontraktor.

“Jadi mengenai pasal tukang kebun, kalau katakan itu kerja saya esok hari atau jadi pengawal keselamatan, saya akan kerja. Kalau itu kerja hakiki saya.

“Cuma ramai mempersoalkan, kau sebagai bekas pemain kebangsaan dan mempunyai pengalaman yang luas, adakah itu pilihan terbaik.

“Cuma di sini jika ada peluang yang bersesuaian dengan kebolehan saya sahaja. Maaf kalau kata-kata saya menyinggung perasaan sesiapa.”

Khalid mendapat perhatian peminat bolasepak selepas didapati cuba melelong pingat serta kasut emas yang dimenanginya selepas mengakui tiga tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Kerajaan negeri Perak dan Kementerian Belia dan Sukan tampil mahu memberikan bantuan yang sewajarnya kepadanya.