Liga Super Malaysia Berita

Farizal Marlias dedah sebab kagumi Norhafiz Zamani Misbah

Penjaga gol JDT, Farizal Marlias menganggap pemain pertahanan veteran Norhafiz Zamani Misbah sebagai antara bintang Liga Malaysia yang wajar dihormati berdasarkan karisma kepimpinannya mengendalikan benteng pertahanan pasukan.

Pengalamannya beraksi dengan Norhafiz yang lebih selesa dipanggil dengan nama sapaan Angah ketika di Negeri Sembilan selama dua musim iaitu pada 2011 dan 2012 membuatkan dia amat kagum dengan ketenangan dan kebijakan dimiliki oleh Angah.

Tambah Farizal, selaku pemain di benteng terakhir, Angah selaku pertahanan tengah banyak membantu dirinya dalam situasi berbahaya malah menjadikan musim di Negeri Sembilan sebagai antara batu loncatan terbesar dalam kariernya selepas berhijrah dari Perlis.

“Saya telah mengenalinya sejak bermain dalam skuad kebangsaan pada 2009 sebelum kami bermain sama di Negeri Sembilan.

“Angah saya boleh katakan seorang pemain yang senang diterima oleh semua, dia kalau bercakap atau memberikan arahan,tidak terlalu kasar atau terlalu lembut.

“Dia sememangnya seorang jeneral atau ketua di atas padang kerana layanannya sama kepada semua, tidak kira pemain senior atau ‘junior’.

“Mempunyai pemain sepertinya, yang mempunyai karakter tenang serta pandai mengawal keadaan dalam kotak penalti, memudahkan tugas saya selaku penjaga gol,” katanya.

Selain Norhafiz, Farizal memilih rakan sepasukan, Izham Tarmizi sebagai penjaga gol manakala tiga rakan sepasukan di JDT iaitu Aidil Zafuan, S.Kunanlan dan La’vere Corbin Ong melengkapkan barisan pertahanan.

Melalui formasi 4-3-3, Farizal meletakkan Afiq Fazail dan Nazmi Faiz bersama-sama bekas pemain JDT yang kini mewakili Melaka, Safiq Rahim.

Di jentera serangan, Farizal memberikan penghormatan kepada Luciano Figueroa dengan dibantu Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera.

Dalam pada itu, Farizal turut mendedahkan Aidil Zafuan juga antara seorang lagi pemain pertahanan yang dia hormati kerana punyai corak permainan yang keras serta sentiasa menyukarkan pemain lawan.

“Jika Angah lebih kepada seorang yang tenang, kombinasi dengan Aidil memang secocok kerana dia pula sebaliknya iaitu sentiasa seorang yang berani mencabar penyerang lawan.

“Bagi saya kombinasi Angah dan Aidil ini umpama Soh Chin Aun dan Santokh Singh, iaitu daripada segi cara permainan.

“Angah seorang yang tenang iaitu mirip kepada Chin Aun sementara Aidil pula kepada Santokh Singh, seorang yang berwatakan keras, jadi mereka berdua ini saling lengkap melengkapi,” katanya.