Malaysia Berita

FAM fokus layak kejohanan peringkat akar umbi Asia

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendedahkan pihaknya sedang berusaha sedaya upaya untuk memastikan Malaysia layak dalam setiap kejohanan peringkat akar umbi.

Beliau berkata, fokus ketika ini adalah untuk layak kejohanan peringkat Asia iaitu kejohanan B-16, B-19, B-23 manakala skuad kebangsaan akan fokus kepada kelayakan Piala Asia.

“Kita dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan,” katanya kepada Harian Metro.

“Imej bola sepak kebangsaan ketika ini berada pada landasan yang baik. Jadi fokus kita sentiasa nak tingkatkan tahap permainan pasukan negara, dan sekarang ini sasaran kita nak melepasi peringkat Asia dulu.”

Yusoff berharap dengan usaha ini, Malaysia akan kembali layak ke Olimpik satu hari ini, selepas kali terakhir beraksi pada Olimpik 1972 dan kali terakhir layak pada 1980.

“Bila kita dah sampai Asia, dah tentulah selepas itu Olimpik. Orang kata sasaran ke Olimpik itu ada cuma biarlah kita ambil langkah demi langkah supaya impian ke Olimpik bukan dongeng.

“Dengan adanya pemain naturalisasi, pemain warisan dan pemain tempatan serta usaha FAM yang sentiasa mengasah permainan mereka, saya kira kita boleh layak.

“Namun kita kena bersabar dan apabila sampai masanya kita boleh capai hasrat itu.”