Malaysia Berita

Jaami Qureshi dibenarkan beraksi dengan Malaysia B-19

Kelab Premier League, Brighton tidak mempunyai masalah memberi pelepasan kepada Jaami Qureshi untuk beraksi dengan skuad B-19 negara.

Perkara itu disahkan oleh bapa Jaami, Perviz Qureshi jika anaknya tersenarai untuk menghadapi kejohanan B-19 AFC, Oktober ini.

“Dia akan diizinkan beraksi sekiranya FAM memilihnya,” kata Perviz menerusi akaun Twitter miliknya.

Perkembangan terbaru ini berikutan pengurus skuad B-19, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 16 tahun itu.

Ketika ini, Wan Kuzri Wan Kamal menjadi satu-satunya pemain dari luar negara yang akan mewakili skuad B-19.

Namun, Kamarul membayangkan ada beberapa pemain lagi yang akan menyertai pasukan itu.