Malaysia Berita

Wan Kuzri bakal sertai latihan skuad B-19 minggu depan

Wan Kuzri Wan Kamal bakal menyertai latihan berpasukan bersama skuad B-19 negara yang akan bermula minggu depan bagi menghadapi Kejohanan B-19 AFC di Uzbekistan, Oktober ini.

Pengurus pasukan B-19, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata Wan Kuzri yang beraksi dengan kelab divisyen kedua Amerika Syarikat, St. Louis FC itu sudah pun berada dalam senarai 35 pemain.

“Senarai 35 pemain ini yang akan dipanggil dan Wan Kuzri dalam proses dokumentasi terakhir untuk kami terbangkan segera ke Kuala Lumpur dan menyertai latihan skuad B-19 bagi mengaharungi kejohanan AFC B-19,” katanya kepada Berita Harian.

Pada masa sama, Kamarul sekali lagi menegaskan tidak akan timbul isu kewarganegaraan seperti apa yang berlaku pada abang Wan Kuzri iaitu Wan Kuzain kerana Wan Kuzri masih berusia bawah 21 tahun dan bebas memilih negara yang mahu diwakilinya.

“Kami amat memerlukan dia untuk menambah kekuatan pasukan. Dia amat berminat dan tidak timbul soal dua warganegara kerana kita sedia maklum hanya selepas umur 21 tahun, dia berhak memilih sama ada untuk mewakili Malaysia atau kembali ke Amerika.”

Mengenai soal latihan pusat skuad B-19, Kamarul berkata pihaknya masih melakukan persiapan termasuk dari aspek prosedur operasi standard (SOP).

“Beberapa lagi kami akan mengeluarkan senarai pemain dan minggu depan akan memulakan latihan pertama. Buat masa ini tiada masalah, cuma kami mahu mengemaskini SOP untuk memulakan latihan.

“Kami tak nak benda itu menimbulkan masalah di kemudian hari dan kami nak semua yang datang menyertai latihan berada dalam keadaan yang amat baik.

“Skuad ini akan bertanding di peringkat Piala Asia dan untuk layak ke Piala Dunia. Jadi kita nak persiapan yang rapi kerana sebelum ini kita sudah ketinggalan kerana COVID-19.”