Liga Premier Malaysia Berita

Masih gagal selesaikan hutang, KAFA rehatkan dua pimpinan tertinggi

KAFA membuat keputusan untuk merehatkan presiden Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah selepas masih gagal menyelesaikan hutang dan tunggakan gaji pemain pasukan Kelantan FA.

Afandi berkata, keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif KAFA berdasarkan situasi semasa KAFA yang dilanda masalah kewangan.

“Kita ambil pendekatan untuk berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi KAFA, khususnya soal bebanan hutang dan tanggungan semasa.

“Justeru kita merehatkan dua jawatan tertinggi,” katanya kepada Harian Metro.

Disebabkan itu, Jawatankuasa Eksekutif KAFA membuat keputusan untuk melantik Naib Presiden KAFA, Datuk Shaari Mat Hussin sebagai pemangku presiden berkuat kuasa serta-merta.

Shaari mengakui menghadapi tugas berat apabila perlu menyelesaikan hutang lebih RM4 juta, selepas berjaya melangsaikan hutang sebanyak RM4.2 juta daripada jumlah keseluruhan RM6.9 juta.

“Hutang ini akan cuba diselesaikan secara berperingkat-peringkat dan pada masa sama kita akan tengok kewangan pasukan.

“Sebenarnya prestasi pasukan sudah berada di landasan yang betul dan menunjukkan peningkatan pada awal musim, namun wabak koronavirus menyebabkan penaja menarik diri daripada menaja.”