Malaysia Berita

FAM beri sebab Harry Edge tidak layak wakili negara

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendedahkan terdapat sebab kukuh mengapa ada beberapa pemain termasuk Harry Edge tidak layak untuk mewakili negara.

Beliau berkata, walaupun seseorang pemain itu lahir di Malaysia, dia didaftarkan di kedutaan negara lain dan bukannya melalui Jabatan Pendaftaran Negara sekaligus tidak mempunyai warganegara Malaysia.

“Sebelum ini pernah ada jurulatih asing yang melatih pasukan dalam Liga Malaysia mendakwa anaknya lahir di sini dan katanya boleh main untuk Malaysia,” kata Yusoff kepada Arena Metro.

“Tapi bila kita selidik, rupanya tak boleh kerana anaknya didaftarkan di kedutaan negara asal bapanya. Memang dia dapat surat beranak di hospital sini, tapi kalau disebabkan tak daftar di JPN maka dia bukan rakyat kita.

“Jadi kalau nak main untuk Malaysia tak boleh atas tiket pemain warisan sebab dia dan ibu bapanya bukan orang Malaysia. Kalau nak main juga kena tinggal dan main di sini hingga lima tahun.”

Yusoff turut memberi pandangan sama kepada Samuel Bone, pemain yang lahir di Kuching, Sarawak kerana bapanya Billy Bone merupakan bekas pemain import Sarawak.

Namun pemain pertahanan berusia 22 tahun itu mempunyai kerakyatan United Kingdom, dan kini sedang beraksi di Liga Ireland bersama kelab Waterford FC.

“Samuel perlu buktikan status kerakyatannya. Jika betul rakyat Malaysia, tak ada masalah untuk dia sertai pasukan tetapi perlu mengharungi penilaian untuk melihat kualitinya terlebih dulu.”

“Selepas itu baru kita akan melihat kepada peringkat seterusnya iaitu menilai kemampuan dan kualitinya. Selalu saya sebut, pemain warisan atau naturalisasi yang kita ambil mesti lebih baik daripada pemain tempatan.

“Kalau biasa-biasa sahaja, lebih baik kita beri kepada pemain tempatan. Pakar bahagian teknikal akan melihat keupayaannya nanti.”