Liga Super Malaysia Berita

KBS umum SOP untuk sukan berpasukan

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akhirnya memberitahu secara terperinci SOP sesi latihan untuk pasukan Liga Malaysia.

Beliau berkata, meskipun kejohanan mahupun aktiviti sukan yang melibatkan sentuhan fizikal masih dilarang sehingga 31 Ogos, kebenaran diberikan kepada pasukan bolasepak untuk tujuan latihan.

Kebenaran itu terpakai kepada pasukan bolasepak kebangsaan, pasukan negeri, kelab di bawah MFL serta akademi berdaftar untuk memulakan latihan secara tidak bersentuhan.

Sepanjang sesi latihan, Reezal berkata terdapat beberapa protokol yang perlu dipatuhi semua pasukan.

-Pakai topeng muka sebelum dan selepas aktiviti sukan

-Penjarakan sosial antara 3-5 meter

-Gunakan pembasmi kuman

-Dilarang meludah

-Peralatan sukan tidak boleh dikongsi, malah peralatan tersebut perlu dinyahkuman.

Reezal turut memaklumkan bahawa keputusan terhadap larangan untuk mengadakan sesi latihan secara bersentuhan boleh berubah dari semasa ke semasa.

Katanya, FAM masih belum membuat permohonan untuk mengadakan sesi latihan penuh namun pihaknya bersedia untuk membawa isu tersebut ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan menggunakan SOP yang serupa dengan kem latihan atlet Road To Tokyo.

“Kami boleh pertimbangkan sesi latihan untuk skuad kebangsaan dan Bawah-19 tahun kepada MKN asalkan sesi latihan tersebut menggunakan SOP seperti atlet Road To Tokyo. Saya rasa MKN tidak akan mempunyai masalah untuk meluluskannya.”

Jika lulus, para pemain skuad kebangsaan perlu dikumpulkan dalam satu kumpulan dan diasingkan dari dunia luar.

Mereka perlu menjalani saringan COVID-19 beberapa kali sebelum dibenarkan berlatih secara berpasukan.