Liga Super Malaysia Berita

Ismail Sabri: Pasukan Liga Malaysia kini boleh adakan sesi latihan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri memberitahu sukan berpasukan seperti bolasepak dibenarkan untuk membuat sesi latihan apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bermula pada 10 Jun ini.

Bagaimanapun, kebenaran itu terhad kepada sesi latihan tanpa bersentuhan kerana kesemua kejohanan dan aktiviti yang melibatkan sentuhan fizikal serta menarik perhatian penyokong di stadium masih tidak dibenarkan sehingga 31 Ogos.

“Sukan dinamik seperti bolasepak perlu membuat penjarakan sosial antara 3-5 meter setiap pemain,” kata Ismail.

“Buat latihan boleh tapi yang masih tidak boleh, dimainkan secara permainan dan perlawanan antara dua pasukan. Hanya boleh berlari senaman secara individu.”

Ini bermakna, setiap pasukan Liga Malaysia hanya boleh membuat sesi latihan kecergasan manakala latihan yang melibatkan kemahiran bolasepak dan menggunakan bola mungkin hanya boleh dibuat secara berseorangan.