Liga Super Malaysia Berita

FAM: Jadual Liga Malaysia mungkin akan dirombak semula

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan jadual Liga Malaysia kemungkinan besar akan diubah bagi memastikan skuad kebangsaan mempunyai masa untuk membuat persiapan untuk menghadapi dua kejohanan pada hujung tahun ini.

Ini selepas AFC menetapkan jadual baharu yang menyaksikan Malaysia akan berdepan UAE pada 8 Oktober, Vietnam pada 13 Oktober dan Thailand pada 17 Nov.

Malah, AFF juga memaklumkan bahawa kejohanan Piala AFF akan tetap dilangsungkan pada jhujung tahun ini.

“Kami masih menunggu kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memulakan semula Liga Malaysia, September ini,” katanya kepada Bernama.

“Semoga dapat diadakan lebih awal untuk memberi masa yang cukup kepada Tan Cheng Hoe menyiapkan skuad terbaiknya untuk pertandingan itu.

“Kami berusaha sebaik mungkin untuk memastikan semua pertandingan yang ditangguhkan sejak 16 Mac dapat diselesaikan sebelum November.”

Mengikut perancangan asal MFL, Liga Super dan Liga Premier akan disambung semula pada 1 September dan berakhir pada 27 September manakala Piala Malaysia akan bermula pada 17 Oktober dengan perlawanan akhir akan diadakan pada 7 November.