Liga Premier Malaysia Berita

KAFA terima hakikat, Kelantan FA mungkin beraksi di Liga M3 musim depan

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman mengakui Kelantan FA mungkin terpaksa beraksi di Liga M3 iaitu liga amatur pada musim depan selepas menghadapi beberapa kes tunggakan gaji pemain sehingga mencecah RM2 juta.

Beliau berkata, Kelantan boleh memohon lesen kelab kebangsaan untuk musim depan, namun kebarangkalian untuk FAM menolak permohonan tersebut adalah tinggi.

“Kami tidak bernasib baik terkena kes ini berlaku ketika pelesenan kebangsaan bermula pada 2019 dan 2020,” katanya kepada Astro Arena.

“Jadi untuk dapatkan lesen, kami perlu selesaikan hutang dan kami yang terpaksa menanggung kesemuanya. Kami boleh mohon lesen tetapi ia tidak akan diluluskan.

“Nampaknya tahun depan kami perlu beraksi dalam saingan amatur, Liga M3.”

KAFA hanya mempunyai satu cara untuk terus kekal di Liga Premier: Mereka perlu mendapatkan persetujuan pemain untuk membayar tunggakan secara ansuran dalam jangka yang panjang.

Husin mengakui, KAFA mempunyai rancangan memulihkan kewangan pasukan, namun bebanan hutang yang tinggi menyulitkan lagi keadaan.

“Kami ada pelan perniagaan dan untuk menyelesaikannya secara beransur-ansur. Tetapi isu ini membuatkan ia terbantut, apatah lagi penaja lari sebab wabak COVID-19, sebab itu saya katakan nasib kami tidak baik.”