Futsal Berita

Gerard Casas: Buat ‘Piala Malaysia’ untuk pasukan futsal

Rata-rata pemain dan jurulatih futsal masih kurang berpuas hati apabila saingan Liga Futsal dibatalkan musim ini, dan menggesa FAM untuk memperkenalkan kejohanan play-off pada musim ini.

Ketua jurulatih Pahang Rangers FC, Gerard Casas menganggap kejohanan tersebut diperlukan supaya dapat memilih wakil ke Kejohanan Futsal Kelab AFC tahun depan, selepas tiada juara liga pada tahun ini.

“Saya berharap FAM akan wujudkan satu kejohanan agar dapat menawarkan peluang buat semua pasukan merebut kelayakan ke Kejohanan AFC,” katanya kepada Astro Arena.

“Kalau liga tidak dapat dianjurkan, mungkin kejohanan seperti Piala Malaysia boleh diadakan.”

Pahang Rangers berbelanja besar pada musim ini, dengan membawa jurulatih asing serta menandatangani beberapa pemain skuad kebangsaan.

Namun Gerard Casas lega kerana pembatalan liga tidak memberi kesan kepada kontraknya, apabila Pahang Rangers terus mengekalkan khidmatnya.