Liga Super Malaysia Berita

Liga Malaysia 2020 kembali bulan Ogos?

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam memberi bayangan bahawa Liga Malaysia mungkin boleh bermula lebih awal daripada perancangan asal.

Beliau berkata, ia berdasarkan perkembangan semasa bilangan kes COVID-19 yang semakin berkurangan.

“Jika melihat perangkaan kes, besar kemungkinan ada..tetapi kami akan tetap bersabar,” katanya kepada Bernama.

“Sekiranya banyak sektor mula dibuka, angka mula menurun dan kami boleh melihat bola sepak dimainkan kembali tidak lama lagi.”

“Bagaimanapun, rancangan kami adalah liga kembali berlatih dalam Ogos dan bermain dalam September. Jadi, tarikh akhirnya begitu tetapi kalau lebih cepat lebih baik untuk semua orang.”

Dalam Mesyuarat Khas Kementerian dalam Pelaksanaan PKP bulan lepas, permohonan MFL untuk menyambung semula pertandingan pada Ogos dan sesi latihan pasukan pada bulan Julai, tidak diluluskan.

Ketika ini, FAM sedang menyediakan dua kertas kerja melibatkan pendekatan latihan berdasarkan kuarantin untuk pasukan kebangsaan dan sesi latihan untuk pasukan liga sebelum dihantar kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan.