Liga Premier Malaysia Berita

KAFA bincang isu gaji dengan pemain, mahu elak dihukum FAM

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman mengesahkan pihaknya mengadakan perbincangan bersama semua pemain dan bekas pemain Kelantan bagi mendapatkan persetujuan berkenaan dengan pengurangan bayaran gaji.

Beliau berkata, dengan menstruktur semula penjadualan bayaran gaji, KAFA mempunyai lebih banyak masa untuk menyelesaikan hutang pasukan tersebut.

Ini terutamanya selepas FAM memberi amaran kepada KAFA untuk menyelesaikan tunggakan gaji selewat-lewatnya hujung bulan ini dan akan dikenakan hukuman jika gagal berbuat demikian.

“Sebelum ini KAFA telah mencapai kesepakatan dengan pemain melalui kaedah pengurangan jumlah bayaran dan tempoh pembayaran dalam ansuran kepada pemain,” katanya kepada Bernama.

“Jika persetujuan dicapai dalam perbincangan itu, isu hukuman FAM tidak akan timbul.”

Berkenaan dengan kes FIFA yang melibatkan dua bekas pemain import Kelantan iaitu Cassio dan Bruno Lopes, KAFA sedang berusaha untuk menyelesaikannya.

“Kami masih dalam rundingan dan rayuan kepada kedua-dua pemain serta FIFA.”