Liga Super Malaysia Berita

MB Kedah: Peruntukan RM1.5 juta belum diluluskan, sebab itu pemain belum dapat gaji

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan peruntukan RM1.5 juta untuk membayar tunggakan gaji pemain yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini sebenarnya masih belum diluluskan.

Katanya, peruntukan itu masih berada di peringkat perbincangan dan kerajaan negeri sebenarnya tidak sempat untuk meluluskannya.

“Pengumuman kerajaan lama bahawa sebanyak RM1.5 juta diguna untuk membayar gaji tertunggak pemain Kedah sebetulnya baru dalam peringkat cadangan dan dibentangkan dengan pembayaran sememangnya tidak dibuat,” katanya kepada Arena Metro.

“Pihak pentadbiran kerajaan negeri berpandangan sebaiknya kelulusan jumlah yang besar itu dibuat oleh kerajaan baharu.

“Kita pertimbang untuk meluluskan bayaran itu disamping inisiatif lain yang diambil kerajaan untuk menyelesaikan masalah berbangkit dalam KFA.”

Sanusi juga menyelar kepimpinan kerajaan negeri di bawah Mukhriz Mahathir atas kegagalannya menyelesaikan masalah kewangan pasukan.

“Presiden KFA sebelum ini patut menyelesaikan perkara berbangkit termasuk kontrak yang ditandatangani bersama pihak ketiga tanpa membuat kajian kewangan terlebih dahulu.

“Komitmen kewangan yang terlalu besar dalam kontrak yang ditandatangani mengakibatkan KFA berada dalam prestasi kewangan yang tenat, bagaimanapun kerajaan di bawah kepimpinan saya akan beri perhatian kepada masalah ini kerana bola sepak adalah sukan rakyat.”