Malaysia Berita

Thailand, Filipina kembali beraksi dalam Piala AFF Suzuki 2020

Thailand dan Filipina mengubah pendirian mereka apabila bersetuju untuk menghantar pasukan dalam Piala AFF Suzuki 2020 yang dijadualkan berlangsung pada 23 November hingga 31 Disember depan.

Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) berkata, pihaknya mendapat pengesahan tersebut daripada kedua-dua negara tersebut yang membuat untuk tidak menarik diri seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“AFF telah mengesahkan bahawa pihak kami telah berhubung semula dengan Thailand dan Filipina berdasarkan laporan-laporan yang keluar sebelum ini.

“Thailand dan Filipina telah mengesahkan mereka tetap akan menghantar pasukan bertanding di Piala AFF Suzuki 2020 pada November depan,” kata jurucakap AFF.

AFF turut mengesahkan Piala AFF akan berlangsung seperti yang ditetapkan.

Namun setiap perlawanan akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan kementerian kesihatan setiap negara masing-masing.

“Buat masa ini, Piala AFF Suzuki 2020 tetap diteruskan tetapi jika berlaku perkara luar jangkaan berkenaan COVID-19 pada masa akan datang, AFF akan kembali menilai sama ada kejohanan ini patut diteruskan atau sebaliknya.”

Sebelum ini, Thailand dan Filipina dilaporkan mahu menarik diri daripada beraksi di Piala AFF Suzuki edisi 2020 selepas penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

Thailand mahu memberikan tumpuan kepada saingan liga dan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 manakala Filipina mahu menarik diri sebelum ini selepas saingan liga negara itu ditangguhkan pada tahun ini.