Malaysia Berita

Misi Piala Dunia B-20: Wan Kuzri Wan Kamal bakal sertai skuad negara

Wan Kuzri Wan Kamal dilaporkan bakal menyertai skuad kebangsaan B-18 bagi memperkuatkan pasukan menjelang Kejohanan AFC B-19 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

Pengurus pasukan, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata pihaknya sudah pun berhubung dengan pemain berusia 17 tahun itu yang kini beraksi dengan akademi St Louis FC, kelab divisyen kedua Amerika Syarikat.

“Wan Kuzri iaitu adik kepada Wan Kuzain yang beraksi di Amerika Syarikat dan dia dalam perancangan utama kami,” katanya kepada Bernama.

“Kami jangkakan tiada masalah kerana kedua orang tuanya warga Malaysia dan beliau masih di bawah 21 tahun. Kami sedang berhubung rapat dengan beliau untuk langkah seterusnya jika kami boleh memulakan sesi latihan.

Kamarul turut mendedahkan Wan Kuzri sudah pun menyatakan minat untuk menyarung jersi skuad kebangsaan sebelum ini kerana dia sepatutnya menyertai satu sesi latihan skuad B-18 negara di Jepun pada Mac lalu.

“Dia amat berminat untuk menyertai kami. Mengikut perancangan asal beliau akan diterbangkan dari Amerika Syarikat ke Jepun bagi menyertai sesi latihan di sana, namun perancangan itu terbatal kerana pandemik COVID-19.”

Wan Kuzri adalah adik kepada Wan Kuzain yang kini beraksi bersama kelab Major League Soccer, Sporting Kansas City.

Wan Kuzri (duduk paling kiri) dalam skuad akademi Saint Louis B-19.

Wan Kuzain tidak bernasib baik apabila dia yang sepatutnya menyertai skuad B-22 pada November tahun lepas bagi menghadapi Sukan SEA 2019 terpaksa digugurkan daripada senarai akhir 20 pemain saat-saat akhir kerana masalah dokumentasi.

Seperti abangnya, Wan Kuzri juga pernah disenaraikan dalam pasukan muda Amerika Syarikat B-15.

Kejohanan AFC B-19 2020 menjadi pertandingan penting buat skuad negara untuk melayakkan diri ke Piala Dunia B-20 yang berlangsung pada tahun depan.

Ia satu cabaran besar buat Malaysia kerana hanya empat pasukan terbaik yang akan layak ke Piala Dunia.

Skuad negara muncul juara kumpulan G dalam kelayakan AFC B-19 pada bulan November tahun lepas dan akan diundi dalam balang tiga bersama-sama Vietnam, Iraq dan Kemboja.

Kejohanan AFC B-19 bukanlah pertandingan yang asing buat Malaysia kerana edisi 2020 bakal adalah penampilan buat kali ke-24 sepanjang sejarah pertandingan.

Malaysia juga pernah muncul naib juara sebanyak tiga kali, iaitu pada tahun 1959, 1960 dan 1968.

Kali terakhir Malaysia mencatatkan rekod baik adalah pada edisi 2004, apabila Malaysia yang merupakan hos pertandingan ketika itu layak sehingga ke suku akhir.