Liga Super Malaysia Berita

Menjelang Aidilfitri: Aidil Zafuan terpaksa beraya di JB

Aidil Zafuan Abd Radzak mengakui dia meraikan sambutan Aidilfitri buat kali pertama di Johor Bahru pada tahun ini.

Kebiasaannya, pemain pertahanan JDT itu akan pulang beraya di kampung halamannya di Seremban dan menyambut Aidilfitri bersama ibu tersayang.

Namun disebabkan kerajaan melarang mana-mana individu daripada merentas negeri bagi mengekang sebarang penularan wabak COVID-19, dia terpaksa beraya di Johor.

“Persiapan raya kali ini memang sangat berbeza,” kata Aidil.

“Buat pertama kalinya saya tidak beraya di kampung. Mahu atau tidak, kami sekeluarga tetap di Johor Bahru sahaja untuk Hari Raya pada tahun ni.

“Kebiasaannya memang saya akan balik kampung jumpa ibu dan ibu mertua saya, tetapi dengan keadaan wabak merbahaya sekarang ini, saya tidak mahu ambil risiko membahayakan kesihatan ahli keluarga yang lain.

“Saya pun ada anak-anak yang masih kecil dan dekat kampung pun ada ramai orang tua yang lebih berisiko tinggi terkena jangkitan, jadi saya buat keputusan untuk beraya di sini sahaja walaupun sebenarnya rindu sangat nak balik jumpa ibu.”

Aidil bagaimanapun berharap wabak ini dapat berakhir dengan segera supaya dia dapat bertemu dengan ibunya kembali.

“Tidak mengapa, selepas wabak ini berakhir, kita boleh sambung beraya bila-bila masa sahaja untuk kembali bersama keluarga, cuma sekarang ini biarlah kita berkorban terlebih dahulu kerana nyawa lebih utama.”